Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan belum memutuskan kaedah sama ada dilakukan secara fizikal atau hibrid apabila persidangan Dewan Rakyat diadakan kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kaedah hibrid adalah pilihan sekiranya Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

Katanya, hibrid adalah sebahagiannya Ahli Parlimen hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya.

"Bagaimanapun, Speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan dan kita belum memutuskan Parlimen bersidang guna kaedah mana.

"Parlimen dijangka bersidang akhir Ogos ini atau awal September depan sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Speaker, kelmarin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Media sebelum ini melaporkan, Parlimen mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk melaksanakan persidangan Dewan Rakyat secara hibrid pada bila-bila masa, jika diperlukan.

Takiyuddin (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima vaksin ketika hadir melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Takiyuddin (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima vaksin ketika hadir melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dipetik berkata, Parlimen juga dalam proses perolehan untuk menambah bahagian teknikal lain yang diperlukan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, mengikut undang-undang, notis untuk persidangan Dewan Rakyat akan dibuat selepas tamat Ordinan Darurat dan 28 hari sebelum bersidang.

Katanya, Ordinan Darurat tamat pada 1 Ogos ini dan Parlimen boleh berkuat kuasa semula.

"Bila tarikh Parlimen bersidang, itu bergantung kepada Perdana Menteri kerana Perdana Menteri yang akan menentukan tarikh persidangan.

"Perdana Menteri akan memaklumkan kepada Speaker untuk keluarkan notis kepada Ahli Parlimen dalam tempoh 28 hari sebelum Parlimen bersidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:20 PM