Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 546 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga petang ini.

Semua mangsa membabitkan 137 keluarga itu ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah.

Setakat jam 4 petang, empat daerah yang masih terjejas adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

Pagi tadi, seramai 599 orang daripada 154 keluarga ditempatkan di 10 PPS di seluruh Terengganu.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman merekodkan jumlah mangsa teramai apabila 286 mangsa berada di tiga PPS.

Semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Dewan Abd Rahman Limbong dan SK Kampung Baru Kerteh.

Jumlah mangsa di Kuala Nerus meningkat kepada 220 mangsa daripada 54 keluarga berbanding hanya 209 mangsa daripada 52 keluarga pagi tadi.

PENDUDUK mengayuh sampan selepas kawasan kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Titian Baru. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK mengayuh sampan selepas kawasan kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Titian Baru. FOTO Ghazali Kori

Kesemua mereka berada di PPS di SK Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, hanya SK Atas Tol masih dibuka bagi menempatkan 43 mangsa daripada 13 keluarga.

Ia berikutan penutupan PPS di SK Chendering jam 2.30 petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang secara berperingkat.

Di Setiu, PPS Balai Raya Kampung Merang masih dibuka bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:46 PM