Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi kekal satu trip pergi dan balik manakala di feri Kuala Perlis akan dibuka semula esok selepas PKPB berakhir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi kekal satu trip pergi dan balik manakala di feri Kuala Perlis akan dibuka semula esok selepas PKPB berakhir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi akan dibuka semula, esok selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah akan berakhir tengah malam ini.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya menyediakan satu perjalanan pergi dan balik dari Kuala Perlis serta Kuala Kedah ke Langkawi.

Menurutnya, perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi pada 10.30 pagi, manakala dari Langkawi ke Kuala Perlis pada 5 petang.

Katanya, perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi sedia ada bermula pada 10 pagi, manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah pada 5 petang.

"Bagaimanapun, perkhidmatan feri akan ditambah kepada dua perjalanan iaitu dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah masing-masing pada 10 pagi dan 5 petang, manakala dari Langkawi ke Kuala Perlis pada jam 10.30 dan 5.30 petang bermula Isnin ini.

"Bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pula, dua perjalanan disediakan pada 10 pagi dan 5 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat tempahan tiket di kaunter atau melalui secara dalam talian.

Katamya, mereka dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi mengelak penularan Covid 19.

"Penambahan jumlah perjalanan feri akan dibuat dari semasa ke semasa bergantung pada permintaan," katanya.

Pada 9 November lalu, syarikat Ferryline Ventures menghentikan perkhidmatan feri keluar masuk dari Terminal Kuala Perlis ke Pulau Langkawi sepanjang PKPB.

Berikutan itu, perjalanan ke Pulau Langkawi hanya beroperasi di Terminal Jeti Kuala Kedah yang membabitkan satu trip pergi dan balik setiap hari.

Perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah membabitkan satu perjalanan pada 10 pagi manakala Kuala Kedah ke Langkawi pula pada 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 2:54 PM