Kaunter tiket Syarikat Ferryline Ventures melekatkan jadual perjalanan yang dibatal atau ditunda di Terminal Feri Kuala Kedah berikutan keadaan air laut surut hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Kaunter tiket Syarikat Ferryline Ventures melekatkan jadual perjalanan yang dibatal atau ditunda di Terminal Feri Kuala Kedah berikutan keadaan air laut surut hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


TIGA trip feri penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi dibatalkan hari ini berikutan paras air surut di bawah satu meter pada 8 pagi.

Trip pertama beroperasi seperti biasa pada 7 pagi sebelum air mulai surut pada 8 pagi.

Penyelia Operasi Ferryline Ventures Kuala Kedah Ahmad Azizan Aziz berkata, fenomena air pasang surut ini tidak menentu dan ada masanya berlaku pada waktu pagi, tengah hari atau petang.

Menurutnya, biasanya pada waktu cuti hujung minggu seperti hari ini ramai pelancong mahu ke Langkawi tetapi disebabkan air surut yang berlaku menyebabkan pelancong berkurangan.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan pembatalan trip perjalanan melalui laman sosial tetapi masih ada segelintir yang datang pada waktu pembatalan itu menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama di terminal.

“Feri beroperasi hanya enam trip saja hari ini berbanding sembilan trip pada hari biasa setiap hari disebabkan air pasang surut yang berlaku ini.

“Namun keadaan ini tidak menentu dan bergantung pada keadaan air surut setiap hari,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah.

Ahmad Azizan berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan jadual perjalanan feri setiap hari melalui laman web Facebook Ferryline Ventures atau kaunter terminal feri.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat pembelian melalui sistem dalam talian yang lebih mudah.

“Namun, kita hanya menyediakan kuota 300 tiket dalam talian dari Kuala Kedah ke Langkawi dan sebaliknya 350 tiket pula dari perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi dan sebaliknya.

“Pembatalan jadual perjalanan feri hari ini disebabkan adalah disebabkan untuk mengelak dari berlaku sebarang kemungkinan termasuk feri tersangkut atau kerosakan enjin,” katanya.

Ahmad Azizan berkata, pihaknya lebih mementingkan keselamatan penumpang dan mengambil langkah membatalkan jadual perjalanan disebabkan fenomena ini.

Menurutnya, penumpang yang ingin bercuti ke Langkawi pada waktu persekolahan minggu depan boleh mengatur perjalanan dengan mendapatkan maklumat lanjut di kaunter tiket atau laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:09 PM