BOT nelayan Thailand yang dipintas oleh Bot Petir milik Maritim Malaysia di perairan Pulau Langgun, Langkawi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan Thailand yang dipintas oleh Bot Petir milik Maritim Malaysia di perairan Pulau Langgun, Langkawi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mengusir tiga bot nelayan Thailand yang menceroboh perairan negara semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, maklumat pencerobohan itu diterima daripada orang awam sebelum disalurkan menerusi Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS999) pada jam 11 pagi.

"Kehadiran bot itu dikesan orang awam pada kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun sebelum melaporkan kepada MERS999.

"Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis mengarahkan Bot Petir yang sedang melaksanakan Ops Benteng ke lokasi bagi membuat siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua bot meloloskan diri manakala sebuah dapat dipintas.

"Pemeriksaan mendapati bot yang ditahan itu dinaiki tiga nelayan warga Thailand, selain terdapat beberapa peralatan menangkap ikan dan hasil laut seberat dua kilogram.

"Bot nelayan asing terbabit kemudiannya diusir keluar dari perairan negara sejajar dengan situasi semasa bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dan siapsiaga bagi memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara daripada anasir luar khususnya kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Keterangan gambar:

1. Bot nelayan Thailand yang berjaya dipintas oleh bot Petir milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Pulau Langgun, Langkawi. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA

2. Sebahagian peralatan menangkap ikan yang dikesan di atas bot milik nelayan Thailand yang berjaya dipintas oleh bot Petir milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Pulau Langgun, Langkawi. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA

- ends

From: Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 2:58 PM