MAYAT lelaki yang ditemui terapung di perairan Pulau Tuba tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
MAYAT lelaki yang ditemui terapung di perairan Pulau Tuba tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman


MAYAT lelaki dipercayai awak-awak bot pukat tunda yang terjatuh dari bot, Rabu lalu, ditemui terapung di perairan Pulau Tuba, Langkawi, hari ini.

Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pada kedudukan 1.7 batu nautika tenggara Pulau Tuba pada jam 8.10 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan oleh kru kapal layar Lili Marleen.

"Sejurus itu, Sub-Pusat Menyelamat Maritim mengarahkan bot PETIR 81 milik Agensi Penguatkuasaan Martitim Malaysia ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati satu mayat lelaki berbaju T kelabu dan seluar jeans pendek berada dalam keadaan terapung," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, berdasarkan pakaian pada mayat, dipercayai ada kaitan dengan kejadian nelayan berusia 20-an dilaporkan jatuh ke laut ketika bersama tekong dan seorang lagi nelayan, Rabu lalu.

"Identiti mangsa belum diperoleh kerana kejadian berlaku pada hari pertama mangsa bekerja di atas bot terbabit bagi menggantikan nelayan yang bercuti.

"Mayat kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:38 PM