POLIS Wilayah Satun membebaskan empat nelayan warga Malaysia dan menghantar mereka pulang ke jeti Tammalang di wilayah itu pada  jam 11 malam semalam.
POLIS Wilayah Satun membebaskan empat nelayan warga Malaysia dan menghantar mereka pulang ke jeti Tammalang di wilayah itu pada jam 11 malam semalam.
BERNAMA

Bangkok: Polis Wilayah Satun membebaskan dan menghantar pulang empat nelayan Langkawi yang didakwa diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Langgun, berhampiran pulau pelancongan itu.

Ketuanya Mejar Jeneral Suphawat Tapkiew berkata, semua nelayan terbabit dibebaskan di jeti feri Tammalang Satun, kira-kira jam 11 ​​malam (waktu tempatan) kelmarin untuk kembali ke Langkawi.

“Empat nelayan Malaysia itu dibebaskan selaras persetujuan selepas perbincangan antara pihak berkuasa yang berkaitan dari Thailand dan Malaysia untuk mencari penyelesaian,” katanya sambil menambah perbincangan kelmarin dipengerusikan Gabenor Satun, Pattarapon Rattanapichetchai.

Difahamkan, perbincangan itu juga membabitkan pegawai dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang berpangkalan di Songkla.

Beliau berkata, pihaknya menjangka tiga pegawai polis Thailand dan timbalan ketua kampung yang kini sedang ditahan pihak berkuasa Malaysia akan dibebaskan dan kembali ke negara itu tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, semua tiga pegawai polis itu bertugas di Balai Polis Mueng di Satun.

Suphawat yakin semua masalah akan selesai sebaik tiga pegawai polis Thailand bersama timbalan ketua kampung bebas dan kembali ke pangkuan keluarga.

Menurut media, Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menyelamatkan sekumpulan nelayan tempatan yang ditawan, dirompak dan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali berhampiran Pulau Langgun, Langkawi, dua hari lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, PPM menerima maklumat bahawa nelayan di perairan Teluk Palam dihampiri sekumpulan lelaki bersenjata sebelum diarah memasuki perairan negara jiran pada jam 8.33 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, PPM kemudian melancarkan operasi menyelamat yang menemukan dua perahu milik kumpulan bersenjata itu bersama empat lelaki warga Thailand.

Pada pertemuan kelmarin, Suphawat berkata, pegawai Malaysia mencadangkan supaya pihak berkuasa Thailand menulis surat rasmi memohon pembebasan warganya yang ditahan untuk kembali ke Thailand.

Pegawai Malaysia terbabit, katanya akan membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang semua empat lelaki Thailand yang sedang ditahan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dan menggantung tujuh anggota polisnya, termasuk tiga yang kini ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa terbabit dalam rompakan berhampiran Pulau Langgun, Langkawi.

Ketiga-tiga anggota polis itu dan timbalan ketua kampung terbabit ditahan di Kedah manakala senjata api mereka turut dirampas.

“Semuanya akan dilaksanakan mengikut undang-undang. Jika mereka (anggota polis Thailand) tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka akan kembali bertugas. Proses ini mengambil masa kerana ia isu sensitif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:38 AM