Lima awak-awak Indonesia ditahan di 24 batu nautika dari Pulau Langkawi. FOTO ihsan APMM
Lima awak-awak Indonesia ditahan di 24 batu nautika dari Pulau Langkawi. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi menahan bot bilis, Isnin lalu dan sebuah bot asing milik warga Indonesia semalam kerana melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di perairan negara.

Pengarah Operasi APMM Langkawi, Komander Maritim R Vincent berkata, semasa melaksanakan rondaan kira-kira 1 petang Isnin lalu, bot peronda APMM mengesan sebuah bot bilis dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Cupu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu melanggar syarat lesen di mana dua daripada 26 awak-awak Thailand tiada permit kerja oleh Pengarah Perikanan Malaysia.

"Sementara itu, dalam kes berasingan 9.20 pagi semalam, Kapal Maritim (KM) Perwira mengesan sebuah bot nelayan asing sedang melakukan penangkapan ikan di perairan Malaysia.

"Bot itu dikesan pada kedudukan 24 batu nautika dari Pulau Langkawi. Seramai lima awak-awak Indonesia ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Vincent berkata, kedua-dua bot nelayan dan awak-awak yang ditahan diserahkan kepada Seksyen Siasatan APMM Langkawi untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

"APMM sentiasa melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Justeru, APMM berharap semua pihak terus memberikan kerjasama dalam menangani sebarang isu di laut. Jika berlaku sebarang kejadian boleh hubungi terus melalui talian MERS 999 atau 04-9662768," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 7:27 PM