GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hamzah Osman


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan guru lelaki hari ini, selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya bagi kepentingan diri sendiri.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Sungai Petani pada 11.48 pagi, ketika hadir bagi memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek yang bertugas di sekolah di negeri ini menggunakan kedudukannya dengan melantik adiknya bagi membekal peralatan alat ganti automotif antara 2008 hingga 2015.

Siasatan awal mendapati, keseluruhan projek yang dianugerahkan kepada adiknya bernilai RM26,706.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 5:13 PM