GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong pegawai tadbir kanan dan isterinya bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai hampir RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.

Katanya, suspek juga dikatakan turut mengesyorkan kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki sebuah koperasi yang mana suspek adalahahli lembaga koperasi dan merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan di koperasi berkenaan.

"Kes berkenaan dipercayai berlaku sejak 2021 hingga tahun lalu dan dua suspek yang berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi di pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

"Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi proses permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:38 PM