Mahaizura Abd Malik

Hulu Langat: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah baik data mangsa banjir seluruh negara bagi mengenal pasti punca seterusnya dapat menyelesaikan isu bencana itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengemaskini data lebih 85,000 mangsa banjir sedia ada.

Katanya, perincian data itu penting bagi mengenal pasti punca bencana itu berlaku di kawasan penempatan mangsa sebelum penyelesaian isu dapat dilaksanakan untuk manfaat jangka masa panjang.

"Kita (sudah) ada data mangsa banjir (yang dikumpul) dari tahun ke tahun melalui pendaftaran di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Tahun lalu saja kita ada lebih 85,000 orang dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

"(Selama ini) kita cuma beri bantuan kebajikan tetapi apa yang lebih penting pada saya mengenal pasti (punca) masalah itu" katanya.

RINA (dua kanan) bersama penerima bantuan. FOTO Eizairi Shamsudin
RINA (dua kanan) bersama penerima bantuan. FOTO Eizairi Shamsudin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas, tilam dan wang tunai kepada 100 mangsa banjir sempena program Ziarah Prihatin Hulu Langat di Pekan Batu 18 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data berkenaan akan diintegrasikan bersama kementerian berkaitan bagi menyelesaikan isu dihadapi mangsa banjir seluruh negara.

"Sebagai contoh, tadi ada mangsa banjir beritahu saya sebelah rumahnya ada sungai cetek maksudnya kalau kita mungkin dalamkan sungai itu kita dapat kurangkan banjir.

"Ini kerana setiap tahun kerajaan belanja puluhan juta ringgit untuk hadapi musim banjir itu tidak termasuk kerugian barang, perabot dan kadang-kadang kehilangan nyawa.

"Jadi, bagi saya untuk kita mengenal pasti isu, pihak JKM dapat menghasilkan data (lengkap) sebelum kita dapat bekerjasama dengan kementerian lain supaya dapat selesaikan isu banjir ini untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 11:57 AM