HEE Loy Sian meninjau keadaan air di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water di Taman Velox pada sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan  di Sungai Selangor menyebabkan LPA Ratau Panjang, SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihentu tugas. FOTO Aswadi Alias
HEE Loy Sian meninjau keadaan air di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water di Taman Velox pada sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan LPA Ratau Panjang, SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihentu tugas. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Kerajaan negeri Selangor menggesa Kerajaan Pusat membantu menangani masalah isu pencemaran sungai yang kerap berlaku di negeri berkenaan.

EXCO Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal selain Islam negeri Hee Loy Sian berkata, ia penting memandangkan Indah Water Konsortium (IWK) adalah agensi di bawah seliaan Kerajaan Pusat.

"Ini kejadian pencemaran kali keempat dikesan berpunca daripada IWK dilaporkan di Batang Kali dan dua kali di Bukit Mahkota.

"Kita difahamkan, IWK hanya boleh memproses bahan kumbahan dari rumah dan tidak boleh memproses bahan kimia.

"Jika ada pihak tidak bertanggungjawab membuang bahan kimia di kawasan IWK, ia boleh menyebabkan loji (IWK) tidak boleh beroperasi dan mereka juga menjadi mangsa," katanya pada sidang media selepas meninjau Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Velox di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau menjangkakan bekalan air pulih secara berperingkat pada pagi esok.

Berkaitan penggunaan dron bagi memantau sungai di Selangor, beliau berkata, ia akan digunakan bermula minggu hadapan.

"Setakat ini, kita masih berunding dengan pembekal (dron) khususnya berkaitan kos selain sedang membuat latihan.

"Kita harap penggunaan dron akan dapat dilakukan minggu depan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah bermula jam 6 petang tadi berikutan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dipetik berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran itu.

Henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:25 PM