LOY Sian (tengah) menunjukan maklumat Ops Sumber Air yang akan bermula hari ini sehingga 31 Januari. FOTO  NORZAMIRA CHE NOH
LOY Sian (tengah) menunjukan maklumat Ops Sumber Air yang akan bermula hari ini sehingga 31 Januari. FOTO NORZAMIRA CHE NOH
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor akan menjalankan operasi pemantauan di lembangan sungai utama secara intensif sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan insiden pencemaran tidak berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pemantauan pihaknya mendapati pencemaran kerap berlaku ketika musim perayaan, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

“Pemantauan yang bermula hari ini sehingga 31 Januari akan dilakukan di tiga lokasi iaitu lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Dua lokasi utama yang akan diberi tumpuan adalah adalah Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus sumber air manakala Sungai Langat membekalkan 30 peratus dan Sungai Klang sebanyak 10 peratus sumber air kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sidang media Ops Sumber Air sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi pemantauan itu akan diadakan 24 jam dan akan membabitkan 200 pegawai serta anggota daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS); Pengurusan AIR Selangor; Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK); Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, agensi lain yang terbabit adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Unit Pengurusan Bencana Selangor; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ops ini akan diketuai oleh LUAS, IWK pula sudah diarahkan untuk menjalankan pemantauan terhadap loji rawatan kumbahan (LRK) berskala besar di dua lembangan utama bagi memastikan semua LRK di bahagian hulu muka sauk sentiasa dikawal selia dengan baik.

“JAS dan PBT juga diminta memantau semua premis berlesen supaya mematuhi syarat lesen yang ditetapkan,” katanya.

Loy Sian berkata, pihaknya sudah mengenalpasti lokasi penting sepanjang Ops Sumber Air ini iaitu LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3, LRA Rantau Panjang, LRA Rasa; Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi untuk Lembangan Sungai Selangor.

Tambahnya, lembangan Sungai Langat pula akan membabitkan LRA Semenyih; Sungai Langat Batu 10; LRA Cheras Batu 11; LRA Bukit Tampoi; LRA Salak Tinggi; Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih.

“Di lembangan Sungai Klang pula membabit LRA Sungai Gombak; LRA Sungai Rumput; LRA Ampang Intake; Empangan Batu, Empangan Klang Gates dan Empangan Tasik Subang.

“Operasi seperti ini akan dilakukan secara berterusan pada musim perayaan lain untuk memastikan tiada insiden pencemaran air berlaku dan menjejaskan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 4:49 PM