PENGARAH KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman (kanan) membuat pemeriksaan bekalan barangan keperluan harian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PENGARAH KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman (kanan) membuat pemeriksaan bekalan barangan keperluan harian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keperluan pengguna dilindungi dan tidak ditindas peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan akibat kesan pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya meneliti perubahan dan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta akta sedia ada lain.

"Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan daripada penguat kuasa KPDNHEP meliputi seluruh rantaian pengedaran dan pembekalan barangan serta perkhidmatn di seluruh negara.

"Melalui penguatkuasaan pencatutan, pengeluaran notis pengesahan maklumat harga atau caj bagi perkhidmatan dan notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP dilakukan untuk mengesan sama ada kenaikan harga mengikut perundangan ditetapkan.

"Sebanyak 4,378 notis dikeluarkan terhadap pengeluar, pemborong dan peruncit barangan termasuk pengusaha perkhidmatan di seluruh negara," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, demikian menjawab soalan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) yang bertanya apakah kesan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap harga runcit barangan di pasaran.

Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan penandaan tanda harga juga dilakukan bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga ke atas barangan dijual.

Katanya, KPDNHEP turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barang keperluan musim perayaan tertentu semasa musim perayaan utama dalam negara.

Tambah beliau, KPDNHEP menyediakan saluran aduan kepada pengguna bagi membolehkan mereka menyalurkan maklumat sama ada menerusi aplikasi WhatsApp, Ez Adu atau talian hotline KPDNHEP di 1-800-886-800.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 1:06 PM