ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dibantu penduduk menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Nanding. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dibantu penduduk menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Nanding. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat: Seramai 280 mangsa banjir termasuk enam bayi ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, jumlah itu membabitkan 62 keluarga yang ditempatkan di PPS terbabit sehingga jam 6 petang, hari ini.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada masing-masing 76 lelaki dewasa dan 76 wanita dewasa; 45 kanak-kanak lelaki, 50 kanak-kanak perempuan, sembilan warga emas lelaki, 18 warga emas wanita dan enam bayi terdiri tiga lelaki serta tiga perempuan.

"Pihak JBPM Selangor memindahkan penduduk ke tempat selamat dan ditempatkan di PPS dengan kerjasama dari pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita turut menggerakkan empat bot penyelamat ke semua lokasi dinaiki air yang mana kita terpaksa bergerak dari satu kediaman yang ditenggelami air ke kawasan selamat berulang kali bagi menyelamat dan memindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir," katanya.

Katanya, dalam situasi cuaca yang amat mendung, dikhuatiri hujan kembali lebat dan air akan naik sehingga situasi mungkin lebih sukar sekiranya penduduk enggan berpindah ke tempat selamat.

Norazam turut memaklumkan setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan semua mangsa dilaporkan selamat.

Katanya, semua pegawai dan anggota JBPM akan ditempatkan di lokasi berkenaan sehingga banjir surut dan keadaan benar-benar selamat.

"Setakat ini hanya satu PPS sahaja baru dibuka bagi menempatkan mangsa banjir," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Air naik sangat cepat' [METROTV]
  • Mujur sempat pindahkan barangan berharga
  • 400 rumah di Hulu Langat dilanda banjir
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:26 PM