Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56, mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56, mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyalurkan bantuan segera susulan kejadian banjir di Ampang Jaya dan Hulu Langat kelmarin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) Selangor Dr Zaitol Salleh berkata, JKM sudah membekalkan pengadang mudah alih kepada setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk kegunaan mereka sepanjang berada di situ

Menurutnya, antara bantuan lain pula adalah pemberian barangan keperluan bencana, kit aktiviti kanak-kanak untuk keluarga yang mempunyai anak kecil.

"Agihan makanan secara bungkusan setiap kali waktu makan kepada mangsa banjir

"Selain itu, JKM turut menyelaraskan sumbangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan untuk diagihkan kepada mangsa banjir," katanya kepada Harian Metro.

Zaitol berkata, sehingga kini seramai 17 keluarga terdiri 44 dewasa, lima kanak-kanak dan tiga bayi ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Permai.

"Sementara itu, seramai 29 keluarga terdiri 59 dewasa, 24 kanak-kanak dan seorang bayi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat.

"Hari ini juga pelbagai bentuk bantuan berupa makanan dan tilam diterima daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 9:08 PM