Nurul Hidayah Bahaudin

Hulu Langat: "Kami tidak menyangka air akan naik lebih 10 kaki (lebih tiga meter) hingga masjid ini ditenggelami sepenuhnya oleh air banjir," kata Ab Samad @ Sam Ab Aziz, 60, Setiausaha Masjid Al-Ehsan Batu 11 1/2 Kampung Sungai Serai, di sini, yang dilanda banjir, hari ini.

Ab Samad berkata, hujan lebat berserta angin kencang sejak tengah malam hingga awal pagi tadi menyebabkan air mula naik selepas waktu Subuh.

"Selepas Subuh, kami menyedari air mula naik dan mula mengalihkan barang serta peralatan di dalam masjid ke tempat lebih tinggi sehingga tiga meter kerana menyangkakan air tidak akan naik melebihi paras itu.

"Bagaimanapun, air mulai naik pada 10 pagi hingga mencecah mimbar dalam masjid... Beberapa minit kemudian, air semakin naik hingga mencecah paras bumbung mengakibatkan masjid ini tenggelam sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan barang dalam masjid seperti permaidani, sejadah dan lain-lain rosak teruk.

"Lokasi masjid ini terletak di kawasan rendah menyebabkannya sering dilanda banjir termasuk banjir kilat.

"Banjir kali ini antara yang terburuk pernah dialami penduduk dengan kali terakhir ia berlaku pada 2012," katanya.

KAWASAN kediaman di Hulu Langat yang ditenggelami air. FOTO Ihsan Pembaca.
KAWASAN kediaman di Hulu Langat yang ditenggelami air. FOTO Ihsan Pembaca.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Sri Nanding, di sini, Shamsul Eddy, 45, berkata, air mula naik di kawasan berkenaan sejak 8.30 pagi.

"Ketika mahu membuka kedai runcit pada 7.30 pagi air mula naik dan saya bergegas mengalih barang jualan ke tempat lebih tinggi.

"Namun, air naik dengan cepat hingga masuk ke dalam kedai satu jam kemudian. Malah, air juga naik di jalan utama menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan," katanya ketika ditemui di Kampung Sri Nanding, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir di Taman Sri Nanding, di sini, Yanafadimah Yahya, 46, berkata, dia menyedari air mula naik ketika ingin keluar bekerja pada 7 pagi.

"Ketika itu, air belum masuk ke dalam rumah, namun jalan utama tidak dapat dilalui kerana sudah dinaiki air menyebabkan saya tidak dapat ke tempat kerja.

"Saya, suami dan anak-anak kemudian mengalihkan barang ke tempat tinggi termasuk kenderaan. Air naik dengan cepat hingga mencecah paras lutut di dalam rumah," katanya.

Katanya, kejadian banjir kerap berlaku di kawasan itu, namun tidak seteruk yang dialami hari ini.

"Sejak menetap di sini pada 1992, saya perasan kawasan ini memang kerap banjir. Malah, dua hingga tiga jam sahaja hujan turun, kawasan ini akan banjir.

"Namun, keadaan lebih teruk di Kampung Sungai Serai kerana kawasan itu rendah serta terletak berhampiran sungai," katanya.

KEADAAN banjir di sekitar Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding. Foto Ihsan Pembaca.
KEADAAN banjir di sekitar Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding. Foto Ihsan Pembaca.

Berita berkaitan:

  • Mujur sempat pindahkan barangan berharga
  • 400 rumah di Hulu Langat dilanda banjir
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 4:12 PM