ANGGOTA bomba bersama penduduk memindahkan seorang warga emas dari kediamannya yang dinaiki banjir kilat di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
ANGGOTA bomba bersama penduduk memindahkan seorang warga emas dari kediamannya yang dinaiki banjir kilat di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat: Seramai 358 mangsa banjir di daerah ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Langat, Kapten Maharis Manan berkata, seramai 293 mangsa membabitkan 66 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Serai membabitkan 79 lelaki, 81 wanita dan 45 kanak-kanak lelaki.

Menurutnya, turut ditempatkan di situ adalah 52 kanak-kanak perempuan, 10 lelaki warga emas, 20 wanita warga emas, tiga bayi lelaki dan enam bayi perempuan.

"Manakala di satu lagi PPS menempatkan 65 mangsa daripada 20 keluarga terdiri 19 lelaki, 26 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.

"Sebaik menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat di kawasan Sungai Serai dan Batu 10 seramai 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maharis berkata, sebaik tiba pihaknya menyelamatkan beberapa mangsa terperangkap dan turut dibantu agensi lain sebelum mereka dipindahkan ke PPS.

Beliau berkata, agensi lain yang terbabit adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seramai 15 orang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiga orang dan tiga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 8:42 PM