SITI Rohani dirawat di ICU Hospital Melaka. Foto HASSAN OMAR
SITI Rohani dirawat di ICU Hospital Melaka. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Suami wanita pekerja kilang memproses ayam yang terhidu gas ammonia bocor di kilang itu malam kelmarin, semakin bimbang selepas isterinya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Maarif Mohamad, 58, berkata, isterinya, Siti Rohani Senin, 54, terhidu gas ammonia yang bocor kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.

"Doktor memaklumkan, isteri berdepan masalah untuk bernafas dengan sempurna akibat terhidu gas terbabit.

"Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kesihatan isteri," katanya ditemui di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Anaknya, Hafifi, 22, berkata, dia dan kakaknya bergilir-gilir menjaga ibu mereka di luar ICU bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Saya jaga pada sebelah malam manakala kakak jaga sebelah siang. Kami mahu tahu perkembangan rawatan ibu dari semasa ke semasa," katanya.

Pada kejadian itu, Siti Rohani yang sudah 20 tahun bekerja di kilang terletak di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas ammonia yang bocor.

Hafifi yang menerima panggilan daripada sepupunya yang turut bekerja di kilang itu pada jam 8.20 malam, bergegas ke kilang ketika semua pekerja keluar bagi mengelak terhidu gas.

Mangsa kemudiannya dirawat di Hospital Melaka berikutan keadaannya yang agak serius.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:10 PM