Nur Saliawati Salberi


PERSIAPAN pusat peperiksaan baharu bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Merlimau di Jasin, yang terpaksa dibuka pada saat akhir berjalan lancar apabila kesemua 81 calon mula menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu Pemahaman pada 8.20 pagi tadi.

Kesemua 81 calon itu membabitkan 75 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat termasuk enam dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam yang terjejas ekoran kebocoran gas ammonia di sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, pagi semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abu Bakar Sahari berkata, kesemua calon dari kedua-dua sekolah itu hadir dan menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, walaupun keputusan pemindahan ini dibuat malam tadi namun persiapan peperiksaan dibuat dengan lancar selain mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa.

“Kesemua mereka selamat mula menjawab kertas peperiksaan seperti yang dijadualkan walaupun lewat lima minit berbanding waktu sebenar.

“Seorang calon terpaksa kita kuarantinkan kerana menghidap demam campak, langkah ini dibuat bagi mengelak daripada dijangkiti kepada murid lain,” katanya ketika ditemui di SMK Sri Mahkota, hari ini.

Mengulas mengenai sebuah lagi pusat peperiksaan baharu di SK Paya Dalam yang menempatkan 20 calon dari SK Paya Redan, Abu Bakar berkata, kesemua calon juga berada dalam keadaan baik dan peperiksaan berjalan lancar.

Sementara itu, bagi ibu kepada calon UPSR Zainab Bidin, 39, berkata, langkah yang diambil Jabatan Pendidikan negeri dalam memindahkan murid adalah amat baik kerana ia boleh mendatangkan sebarang kemungkinan jika calon tidak dipindahkan.

“Kira- kira 11 malam tadi saya dimaklumkan berhubung perkara ini dan agak terkejut kerana bimbang jika fokus anak saya akan terganggu.

“Syukur anak faham dan katanya situasi ini tidak menjejaskan tumpuannya,” katanya yang hadir bersama suami Jefri Abu Bakar, 40, menemani anak sulungnya Wardina Syazwana, 12.

Berita berkaitan

Kebocoran gas ammonia: Calon UPSR dipindahkan

[UPDATE] Kilang henti operasi sementara

[UPDATE] Kilang henti operasi sementara

Sesak nafas terhidu gas bocor [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:09 AM
Antara murid SK Serkam Darat dan SJKT Tamil Ladang Serkam menduduki UPSR di Dewan SMK Seri Mahkota susulan kejadian kebocoran gas ammonia di kilang pemprosesan ayam di Serkam, Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad
Antara murid SK Serkam Darat dan SJKT Tamil Ladang Serkam menduduki UPSR di Dewan SMK Seri Mahkota susulan kejadian kebocoran gas ammonia di kilang pemprosesan ayam di Serkam, Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad