Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas bermula hari ini.

Ia bermula dengan pemasyhuran oleh Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua ahli dewan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Langkah-langkah pencegahan sudah diambil dengan ahli Yang Berhormat dari Sabah diminta kuarantin selama 14 hari sebelum bermula dewan ini.

"Saya mengajak semua ahli Yang Berhormat tanpa mengira latar belakang khususnya fahaman politik mengenepikan perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati dalam memainkan peranan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa bagi mengekang Covid-19," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Azhar berkata, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memperkenankan sepuluh akta yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Belas.

Akta itu adalah Akta Perbekalan Tambahan 2019 (2020), Akta Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020), Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan 2020) dan Akta Mahkamah Rendah (Pindaan 2020).

Selain itu, Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan 2020), Akta Insolvensi (Pindaan 2020), Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Penyakit Covid-19 2020, Akta Majlis Keselamatan Negara (Pindaan 2020) dan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (PenyakitCovid-19) 2020.

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memulakan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. FOTO AIZUDDIN SAAD
YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memulakan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. FOTO AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 10:44 AM