Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas 29 hari bersidang, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 melabuhkan tirai hari ini dengan 10 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan termasuk RUU Perbekalan 2021 bagi peruntukan belanjawan tahun hadapan.

Turut diluluskan RUU Kewangan 2020; RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020; RUU Kastam (Pindaan) 2020 dan RUU Eksais (Pindaan) 2020.

Persidangan kali ini juga meluluskan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2020; Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020; dan Koperasi (Pindaan) 2020.

Sementara itu, bacaan kali kedua dan ketiga bagi lima RUU dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat, RUU yang ditangguhkan ialah Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020; Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Lembaga Angkasa Malaysia 2020; dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Ketika membentangkan RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 bagi bacaan kedua hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia membabitkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM20 bilion.

"Anggaran perbelanjaan tambahan membabitkan RM14 bilion bagi menampung pemberian Bantuan Prihatin Nasional; RM4 bilion untuk menampung perbelanjaan berkaitan Covid-19; keperluan melanjutkan Program Subsidi (RM1.5 bilion) dan pemberian Geran Khas Prihatin (RM500 juta)," katanya.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dalam sesi perbahasan RUU itu turut mencadangkan supaya semua bantuan insentif yang dinyatakan di dalamnya disalurkan seawal Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri pula ketika membentangkan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 berkata, ia dibuat bagi memperkemas pelaksanaan dan layanan cukai jualan.

Ia antara lain bagi menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.

Sebelum menangguhkan sidang terakhir bagi 2020, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mewakili dua timbalannya menzahirkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan Ahli Parlimen, pegawai kerajaan terutama kakitangan Parlimen dan media massa bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh 29 hari, biarpun berdepan Covid-19.

"Seperti semua sedia maklum persidangan kali ini diadakan ketika kes wabak Covid-19 semakin meningkat dan beberapa perubahan terpaksa dilakukan berkaitan urusan dewan ini demi menjamin kesihatan dan keselamatan kita.

"Saya berdoa kita semua dilindungi olehNya dan berharap wabak ini tidak menjadi ancaman kepada kita lagi," katanya.

Azhar juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baharu 2021 kepada Ahli Parlimen dan warga Parlimen yang menyambut perayaan itu, selain memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan, terkasar bahasa dan meninggikan suara sepanjang persidangan berlangsung.

Persidangan Dewan Rakyat seterusnya akan diadakan pada suatu tarikh yang ditetapkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:13 PM