KEADAAN kenderaan mangsa yang terbakar. FOTO NSTP
KEADAAN kenderaan mangsa yang terbakar. FOTO NSTP
Samadi Ahmad


Sepang: Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditemui terbakar bersama mayat seorang lelaki di Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen LRT Kota Warisan di sini, Rabu lalu, disahkan dimiliki seorang jurutera tapak projek berusia 42 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu didaftarkan mengikut alamat di Subang Jaya.

Menurutnya, polis bagaimanapun masih menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa bagi mendapatkan pengesahan berikutan keadaan mayat mangsa rentung sepenuhnya.

Katanya, bedah siasat juga sudah dijalankan terhadap mayat mangsa di Hospital Serdang pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka hirisan yang parah di bahagian tubuh badan akibat serangan objek tajam.

"Punca kematian adalah disebabkan kesan serangan dan bukan berpunca akibat kebakaran kenderaan," katanya.

Beliau berkata, polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Fadzli berkata, polis menahan dua suspek lelaki berusia 42 dan 37 tahun yang juga dipercayai rakan karib mangsa petang kelmarin bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 5 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 4:44 PM