LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Samadi Ahmad


Sepang: Polis menahan dua lelaki, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kematian individu ditemukan rentung dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen ERL Salak Tinggi, di sini, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 42 dan 37 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 5 November ini.

Beliau berkata, penahanan itu dilakukan selepas siasatan awal mendapati kenderaan itu dimiliki seorang jurutera tapak berusia 42 tahun dan kedua-dua suspek dipercayai rakan karib kepada mangsa.

"Bedah siasat terhadap mangsa selesai dijalankan pada 4 petang semalam di Hospital Serdang dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka hirisan di tubuh badan akibat serangan objek tajam.

"Punca kematian disebabkan kesan serangan dan bukan berpunca daripada kebakaran," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa bagi mendapatkan pengesahan berikutan keadaan mayat hangus terbakar dalam kejadian awal pagi itu.

Katanya, polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Lelaki rentung dalam SUV rupanya mangsa bunuh

Polis belum kenal pasti identiti mangsa

Pemandu SUV rentung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 4:54 PM