BERNAMA

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat langkah kerajaan mengurangkan jumlah subsidi kepada RM64 bilion dalam Belanjawan 2023 bakal menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak tahun ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata walaupun proses pemulihan ekonomi menunjukkan momentum yang positif, tetapi kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dalam bentuk subsidi dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

"Subsidi adalah bantuan kewangan, bukannya satu bentuk insentif kerajaan. Adakah kerajaan menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan (subsidi) ini?" katanya dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Muhyiddin menegaskan subsidi kerajaan wajar memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sementara golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

"Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar.

"Iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya lihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya," tambah beliau.

Muhyiddin Yassin ketika perbahasan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Muhyiddin Yassin ketika perbahasan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 4:19 PM