KELIHATAN kenderaan Hospital Pulau Pinang yang membawa kakitangan KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO Danial Saad
KELIHATAN kenderaan Hospital Pulau Pinang yang membawa kakitangan KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan

Georgetown: Kesemua 17 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Penjara Seberang Prai di Jawi dan Penjara Reman Penang di sini, semalam membabitkan banduan.

Pengarah Penjara Seberang Prai, Zulkifli Abdul Manah berkata, sembilan banduan disahkan positif selepas menjalani ujian saringan kedua.

"Ujian saringan kedua dijalankan ke atas kontak rapat kepada banduan yang positif sebelum ini dan mereka dipenjarakan kurang daripada enam bulan," katanya di sini, hari ini.

Zulkifi berkata, banduan yang kurang daripada enam bulan ditempatkan di blok berasingan daripada banduan lama.

Katanya, pihaknya kini masih menunggu keputusan ujian banduan lain selain bakal menyelesaikan ujian saringan ke atas banduan lama.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman, Mohamed Jusoh Ismail berkata, enam banduan disahkan positif wabak itu selepas menjalani ujian saringan ketiga.

Menurutnya, mereka disaring selepas menunjukkan gejala Covid-19.

Ditanya sama ada ujian saringan keempat bakal dijalankan, Mohamed Jusoh berkata, ia bergantung kepada situasi semasa.

"Kami tunggu nasihat berikutnya daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Kedua-dua penjara itu menjadi kluster Covid-19 terbesar di Pulau Pinang dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selepas merekodkan lebih 400 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 11:25 AM