Zuliaty Zulkiffli

DUA remaja perempuan yang ditahan bersama dua lelaki ketika menaiki kereta Perodua Myvi, malam semalam memberi alasan baru pulang dari salun rambut di Jitra.

Mereka berusia 15 dan 17 tahun ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar pada 10.45 malam.

Kedua-duanya memberi alasan meluruskan rambut (rebonding) di salun berkenaan dengan ditemani dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun itu, selain turut berbuka puasa sebelum dihantar pulang.

Bagaimanapun, mereka ditahan polis kerana menaiki satu kenderaan berempat selain ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, polis menahan lapan individu termasuk dua remaja perempuan terbabit kerana memberi alasan tidak munasabah.

Dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Datuk Kumbar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Datuk Kumbar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Menurutnya, mereka berusia 15 hingga 47 tahun disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

"Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun kerana memiliki plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 2:46 PM