Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 14 individu ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berhibur di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Alor Setar, malam tadi.

Turut ditahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis berusia 40-an.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, semua mereka ditahan sepasukan anggota Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang memulakan risikan sejak 6.30 petang semalam.

Katanya, premis itu kelihatan tutup dari luar, namun meriah di dalam dan dipercayai hanya menerima pelanggan dikenali bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Ketika serbuan, 14 pelanggan sedang berhibur yang berusia antara 20 hingga 30-an. Pemeriksaan ke atas mereka mendapati dua orang iaitu lelaki dan perempuan pernah ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati 11 orang positif dadah dan seorang daripada tangkapan adalah wanita Thailand.

SEBAHAGIAN daripada 15 individu yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
SEBAHAGIAN daripada 15 individu yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Katanya, semua mereka dibawa ke IPD Kota Setar dan peralatan karaoke di premis itu dirampas.

"Kes disiasat disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di dalam kawasan kerana melanggar PKP selain, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan 1997 (bagi penjaga premis) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (bagi wanita Thailand).

"Kita juga buka siasatan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi 11 orang yang positif dadah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 8:57 AM