Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kerajaan negeri Pulau Pinang belum memutuskan untuk menutup masjid dan surau di kawasan yang berada dalam zon merah Covid-19 di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, aktiviti keagamaan di masjid dan surau masih berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Setakat ini kita belum ambil tindakan memperketatkan apa yang diamalkan di masjid dan tempat berkumpul (dalam zon merah).

"Di masjid agak tersusun dan kita sedang memikirkan untuk meningkatkan SOP daripada segi kebenaran untuk hadir ke masjid atau mungkin kita akan memendekkan waktu berjemaah (berada di masjid).

"Buat masa ini, tiada surau dan masjid ditutup kerana tiada keperluan kecuali tempat yang diperketatkan (di mana) kita ikut perintah kawalan yang diperlukan," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai keperluan menutup surau dan masjid di kawasan dikategorikan zon merah Covid-19 iaitu Georgetown di daerah Timur Laut dan Mukim 6, Seberang Perai Selatan.

Ia membabitkan Penjara Reman Pulau Pinang yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 15 Oktober lalu dan Penjara Seberang Perai, Jawi yang menguat kuasakan PKPD tengah malam tadi bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, beliau hadir dalam Majlis Minum Petang bersama 288 guru dan penyelia Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Mengulas mengenai Pusat Jagaan Darul Hanan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, semua kakitangan dan penghuni pusat itu menjalani kuarantin selain tidak dibenarkan sebarang pergerakan keluar masuk.

"Di kompleks (Darul Hanan) semuanya dikawal dengan ketat kecuali penghantaran masuk makanan sahaja dibenarkan.

"Pesakit yang dijangkiti Covid-19 masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 6:58 PM