Suami isteri maut di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham
Suami isteri maut di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“IBU sempat masak mi segera untuk sarapan kami adik-beradik.

“Ibu minta saya jaga adik-adik kerana dia dan ayah nak pergi ambil dua adik yang tinggal di asrama,” kata Muhammad Danial, 12, anak sulung suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun hari ini.

Ibu bapanya, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, dan isteri Norhapisah Idris, 34, maut selepas Proton Wira Aeroback dinaiki bertembung dengan Perodua Alza 11.15 pagi tadi.

Muhammad Danial berkata, dia terkejut apabila diberitahu bapa saudaranya ibu bapanya terbabit kemalangan dan maut di lokasi.

“Ibu dan ayah keluar rumah 8 pagi untuk mengambil dua adik, Muhammad Danish Irfan, 11, dan Muhammad Darwish Iqbal, 9, yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.

“Biasanya kalau ke mana-mana, ayah dan ibu bawa kami adik beradik bersama tapi hari ini ayah tidak berbuat demikian sebaliknya minta saya jaga adik-adik di rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa saudaranya ke Hospital Dungun tetapi masih belum dibenarkan menatap wajah ibu bapanya kerana proses bedah siasat masih dijalankan.

“Saya hanya sempat melihat Muhammad Danish dan Muhammad Darwish ketika mereka dibawa keluar bilik kecemasan untuk dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya hanya mampu menangis dan tidak sempat nak cakap apa-apa memandangkan Muhammad Danish kelihatan kritikal dengan memakai alat bantuan pernafasan,” katanya.

Muhammad Danial berkata, kedua-dua adiknya itu dilaporkan parah di bahagian kepala dengan Muhammad Danish kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

“Saya tidak mahu kehilangan mereka dan berdoa mereka selamat.

“Saya doa Allah SWT selamatkan adik saya,” katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan enam beradik terbabit menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan berkenaan.

Kejadian menyebabkan pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan terbabit tersepit.

Berita berkaitan

Hilang kasih ibu dan ayah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 6:59 PM