ANGGOTA polis memantau pergerakan penduduk ketika bertugas pada hari pertama pelaksanaan PKPD di kawasan Saguking hari ini. FOTO Bernama
ANGGOTA polis memantau pergerakan penduduk ketika bertugas pada hari pertama pelaksanaan PKPD di kawasan Saguking hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Semua laluan haram, masuk dan keluar dari dua kampung setinggan atas air Saguking Laut dan Sebor Baru, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sudah dikenal pasti dan ditutup dengan kawat berduri.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, laluan haram itu termasuk kawasan perairan ke arah laut terbuka dan di darat.

"Memandangkan hari ini adalah hari pertama kedua-dua penempatan ini di bawah PKPD, kami mengerahkan anggota yang mencukupi untuk siap siaga di tiga pos kawalan polis yang digunakan orang ramai untuk memasuki penempatan berkenaan.

"Kami juga mengenal pasti dan menutup laluan haram yang digunakan oleh orang tertentu di penempatan itu untuk ke laut dan bahagian lain berhampiran pusat bandar," katanya kepada pemberita selepas memantau situasi di pintu masuk utama ke penempatan berkenaan berhampiran Bangunan Komersial Saguking, di sini, hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPD di Saguking Laut dan Sebor Baru di Labuan dari 21 Oktober hingga 3 November.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD selama 14 hari itu bertujuan mengawal pergerakan penduduk di dua penempatan berkenaan dan bagi memudahkan saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saringan itu akan membabitkan 8,602 orang dan mereka juga diarahkan mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan memakai gelang tangan pengawasan.

Sementara itu, Muhamad Farid menasihatkan penduduk setempat agar tidak panik dan bimbang mengenai arahan PKPD di penempatan itu.

"Kami mempunyai anggota yang mencukupi untuk mengawal perkampungan ini...kami tidak benarkan sesiapa pun untuk memasuki atau keluar dari sini. Anggota kami akan bertugas 24 jam di tiga pos kawalan," katanya.

Mengenai kehadiran pendatang tanpa izin di penempatan itu, Muhamad Farid berkata, usaha berterusan oleh agensi penguat kuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah itu akan diteruskan dan bukan saja semasa langkah sekatan pergerakan.

Labuan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 31 Oktober dengan 160 kes positif dilaporkan semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:15 PM