SUASANA di kampung Saguking, kelmarin. FOTO Bernama
SUASANA di kampung Saguking, kelmarin. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM100,000 untuk menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di dua kampung air di sini yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 3 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata peruntukan itu yang disalurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Labuan akan dimanfaatkan dengan penghantaran bakul makanan dua kali seminggu sepanjang pelaksanaan PKPD.

"Sebanyak 629 bakul makanan dengan setiap satu bernilai RM50 telah dihantar setakat ini kepada penduduk kawasan setinggan Saguking Laut dan Sebor Baru yang diletakkan di bawah PKPD susulan peningkatan kes COVID-19," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Fary Akmal, sebuah klinik swasta di sini juga bersedia membekalkan susu untuk kanak-kanak di dua perkampungan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata penguatkuasaan PKPD selama 14 hari berkenaan bertujuan membendung penularan lebih meluas COVID-19 selain membantu Kementerian Kesihatan menjalankan saringan ke atas 8,062 penduduk yang turut diletakkan di bawah perintah pemantauan di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:46 PM