KEADAAN suasana jeti bot laju Terminal Feri Antarabangsa Labuan kelihatan agak sunyi dan sepi berikutan penguatkuasaan PKPB di Labuan hari ini. Kerajaan membenarkan perkhidmatan pengangkutan teksi air dan penambang beroperasi sepanjang penguatkuasaan PKPB selama 14 hari bermula dari 17 Okt sehingga 30 Okt di  Labuan. FOTO BERNAMA
KEADAAN suasana jeti bot laju Terminal Feri Antarabangsa Labuan kelihatan agak sunyi dan sepi berikutan penguatkuasaan PKPB di Labuan hari ini. Kerajaan membenarkan perkhidmatan pengangkutan teksi air dan penambang beroperasi sepanjang penguatkuasaan PKPB selama 14 hari bermula dari 17 Okt sehingga 30 Okt di Labuan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Perkhidmatan pengangkutan laut Labuan-Menumbok-Labuan-Kota Kinabalu-Labuan beroperasi seperti biasa untuk perkhidmatan perlu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzaliza Kartika Abdullah.

"Labuan berbeza dengan negeri lain, kerana pengangkutan laut masih digunakan secara meluas oleh mereka terbabit dalam perkhidmatan perlu, kakitangan dalam industri minyak dan gas dan krew perkapalan, atau oleh pekerja tinggal berhampiran sempadan tanah besar Sabah dan bekerja di Labuan dan mereka berulang-alik hari-hari.

"Dalam kami menguatkuasakan PKPB, kami juga perlu memastikan kegiatan ekonomi yang menjadi pergantungan orang ramai tidak akan terjejas dengan banyak," katanya.

Perkhidmatan pengangkutan laut Menumbok dan Sipitang dari dan ke Labuan menggunakan bot laju atau feri bermuatan 14 dan 40 tempat duduk, dan MKN mengingatkan mereka untuk memastikan operasi sentiasa perlu mengikut operasi prosedur standard (SOP) penjarakan fizikal.

Nurzaliza Kartika berkata, operasi feri ro-ro, Labuan-Menumbok-Labuan, beroperasi seperti biasa dengan membawa lebih banyak barangan perlu dari tanah besar Sabah ke Labuan.

Pada ketika ini sejumlah empat buah feri menjalankan operasi ulang alik ke Menumbok dan Labuan.

Namun beliau berkata, aktiviti perkhidmatan kapal bukan konvensional seperti kapal kayu atau dikenali sebagai 'Kumpit' yang biasanya digunakan untuk aktiviti barter, adalah tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:02 PM