GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19 malah tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 'Solidarity trial' turut membuktikan ubat anti malaria hydroxychloroquine, serta 'lopinavir' dan 'ritonavir', tidak berkesan dalam merawat pandemik itu.

"Jadi kita dapat simpulkan, remdesivir tak berkesan untuk kita merawat pesakit Covid-19 dari tiga sudut iaitu kematian, kemasukan ke hospital atau keperluan bantuan pernafasan.

"Dulu kita tiada bukti yang kukuh, tetapi hari ini kita sudah ada kajian. Bukan hanya di Malaysia tapi ia juga membabitkan negara yang di bawah payung WHO," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan ritonavir digunakan bagi rawatan pesakit Covid-19.

Namun berdasarkan kajian, kata Noor Hisham, pihaknya mendapati ubat dexamethasone berkesan untuk menghalang radang paru-paru dan memberikan hasil positif terhadap pesakit.

Katanya, kajian klinikal berkenaan membabitkan pesakit Covid-19 dari 30 negara termasuk Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 9:28 PM