Rafidah Mat Ruzki


PENGGUNAAN tiga ubat jenis Chloroquine’, Hydroxychloroquine dan kombinasi Lopinavir/ Ritonavir dilihat memberikan kesan kepada rawatan pesakit Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Chloroquine’ dan Hydroxychloroquine yang sebelum ini digunakan untuk merawat pesakit malaria diberikan kerana bersifat anti radang.

Katanya, ini kerana penyakit Covid-19 menyebabkan saluran pernafasan bawahan mengalami keradangan disebabkan virus melekat hingga berlaku replikasi.

“Jadi ubat ini membantu menangani radang saluran pernafasan.

“Kita juga sudah lama guna ubat Lopinavir/ Ritonavir bersama dengan Hydroxychloroquine,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ubatan berkenaan dicuba berikutan ada kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain Malaysia terbabit dalam penyelidikan bersama dengan negara lain.

“Pada gelombang pertama, kita gunakan tiga jenis ubat ini (dan) nampak berkesan tapi kita kena jalani penyelidikan, jadi data kita akan kutip.

“Tapi kadar kematian semakin meningkat kerana pesakit kita yang berusia dan ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Selain ada pesakit yang datang lewat untuk mendapatkan rawatan, selepas berlaku masalah pernafasan dan juga jangkitan kuman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:49 PM