HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO arkib NSTP
HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia bagi menjalankan kajian untuk menguji keberkesanan ubat merawat pesakit Covid-19 dikenali sebagai Remdesivir.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemilihan Malaysia dibuat berikutan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan kajian klinikal.

“Selain Malaysia, ada beberapa negara lain turut dipilih bagi menjalankan kajian ini. Malaysia dipilih kerana kita mempunyai keupayaan menjalankan kajian serta kita memang sudah mempunyai platform berkenaan.

“Selain itu, kita turut mempunyai sistem kesihatan dan pendidikan yang baik. Di Malaysia, penyelidikan akan dibuat di Hospital Sungai Buloh serta hospital-hospital yang merawat pesakit Covid-19.

“Buat masa ini, kita masih mengumpul data mengenai ubat baharu ini. KKM mungkin akan dimasukkan dalam satu tempat bagi mengumpul data dan memberi rawatan kepada pesakit dengan menggunakan ubat baharu ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kerjasama ini diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin dan pihaknya akan membincangkan perkara itu bersama WHO malam ini.

Pada 11 Februari lalu, akhbar ‘The Washington Post’ melaporkan, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesahkan doktor di Wuhan, China sudah mula menguji ubat yang masih di peringkat percubaan, Remdesivir, terhadap pesakit Covid-19.

Ubat itu yang dihasilkan Gilead Sciences dikatakan berjaya merawat pesakit pertama di AS yang dijangkiti Covid-19.

Laporan sama juga mengatakan, walaupun Remdesivir gagal dalam ujian klinikal jangkitan Ebola, ia menunjukkan hasil menggalakkan dalam ujian makmal terhadap jangkitan koronavirus lain termasuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Sementara itu, mengenai perkembangan ujian pengesanan antigen segera bagi mengesan virus Covid-19, beliau berkata, ketepatan ujian berkenaan tidak begitu tepat.

“Kita sudah laksanakan ujian berkenaan daripada satu syarikat di China dan dapati ketepatannya tidak begitu bagus.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenalpasti ubat atau jenama yang diberikan tidak sesuai. Buat masa ini Malaysia menggunakan ujian pengesanan antigen segera dari Korea,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:09 PM