PENGGUNAAN Remdesivir hanya efektif jika ia diberikan kepada pesakit di peringkat awal jangkitan Covid-19. FOTO AFP
PENGGUNAAN Remdesivir hanya efektif jika ia diberikan kepada pesakit di peringkat awal jangkitan Covid-19. FOTO AFP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pakar kesihatan awam menyifatkan Malaysia membuat keputusan yang tepat untuk tidak menggunakan ubat antiviral Remdesivir bagi merawat Covid-19 di negara ini.

Ia susulan beberapa kajian sebelum ini membuktikan penggunaan ubat remdesivir itu didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak berkenaan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr Nurhafiza Zainal, berkata kajian yang diterbitkan oleh 'American Society for Microbiology' menyatakan penggunaan remdesivir hanya efektif jika ia diberikan kepada pesakit di peringkat awal jangkitan Covid-19 iaitu secara spesifiknya sebelum lapan jam selepas permulaan jangkitan.

"Sifat jangkitan SARS-CoV-2 atau virus di dalam Covid-19 ini mengambil masa antara empat hingga 14 hari untuk menunjukkan simptom, maka penggunaan ubat remdesivir yang efektif adalah hampir mustahil.

"Ini kerana remdesivir hanya efektif jika diberikan diperingkat awal jangkitan (sebelum lapan jam selepas permulaan jangkitan). Ia hanya efektif jika ubat ini diberikan setiap hari seperti kita mengambil makanan tambahan (supplement) di mana impak negatif mengambil ubat ini dalam jumlah yang tinggi masih belum diketahui," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk menggunakan Remdesivir bagi rawatan Covid-19, Dr Nurhafiza berkata, kelulusan itu dibuat dengan hanya berbekalkan bukti kajian yang terhad kerana tekanan politik.

Malah Dr Nuhafiza berkata, AS juga dilihat terdesak untuk mencari penawar Covid-19 kerana negara berkenaan kini mempunyai kes yang sangat tinggi iaitu jampir lapan juta kes serta 250,000 kematian dicatatkan.

"Terdapat beberapa kajian klinikal di USA yang menunjukkan kesan ubat ini yang sederhana. Contohnya kajian percubaan remdesivir oleh US National Institute of Health membabitkan 1,000 pesakit, ia menunjukkan ubat ini dapat mempercepatkan masa penyembuhan tetapi tidak membantu mengurangkan kes kematian.

"Jadi Malaysia membuat keputusan yang tepat untuk tidak menggunakan ubat ini kerana ia ternyata kurang berkesan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan FDA meluluskan remdesivir keluaran Gilead Sciences (Gilead) untuk rawatan Covid-19, dan sebaik sahaja ia diberi kelulusan penuh ia akan menjadi 'tulang belakang kombinasi terapi antivirus' yang dikaji Institut Kesihatan Nasional.

Ketua Pegawai Perubatan Gilead, Dr Merdad Parsey dilaporkan berkata, pihaknya akan menggunakan ubat berkenaan untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital secara suntikan.

Remdesivir diluluskan untuk pesakit berusia 12 tahun ke atas dan kebenaran penggunaan kecemasan sementara bagi merawat individu lebih muda dengan berat lebih 7.7 paun (3.5 kilogram).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 4:47 PM