GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


MALAYSIA dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyertai ‘Kaji Selidik Solidariti’ dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat merawat jangkitan Covid-19.

Kaji selidik diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia itu adalah usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses pelaksanaan kaji selidik ubat itu akan bermula tidak lama lagi.

Menurutnya, sembilan hospital terbabit dalam penyelidikan iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Perlis; Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Hospital Pulau Pinang; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Melaka; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Penyelidikan akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Dr Chow Ting Soo di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital masing-masing.

“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia itu dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memberi jaminan bahawa kaji selidik berkenaan akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kaji selidik WHO di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:49 AM