FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Paris: Ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan untuk merawat pesakit Covid-19 walaupun betapa seriusnya keadaan mereka.

Menurut kenyataan di laman rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, ubat berkenaan tidak memberi kesan penting terhadap peluang pesakit untuk terus hidup.

Berdasarkan beberapa rawatan yang menunjukkan penemuan awal terhadap pesakit menderita akibat dijangkiti virus berkenaan, pakar antarabangsa Kumpulan Pembangunan Garis Panduan WHO (GDG) berkata, tiada bukti data yang ada sekarang ini bahawa remdesivir memperbaiki tahap kesihatan pesakit.

Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain sebelum ini memberi persetujuan sementara untuk penggunaan remdesivir selepas dilakukan penelitian awal yang menunjukkan bahawa ubat itu dapat memendekkan tempoh pemulihan terhadap pesakit Covid-19.

Presiden AS, Donald Trump antara pesakit yang pernah dirawat menggunakan remdesivir termasuk ubat lain selepas beliau diuji positif Covid-19 pada Oktober lalu.

Syor WHO yang dibuat hari ini bersandarkan empat ujian rawak antarabangsa terhadap lebih 7,000 pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana menghidap Covid-19.

Meskipun ubat itu diterbitkan dalam panduan rawatan terkini bagi jurnal perubatan BMJ, barisan panel mengakui cadangan mereka tidak bermaksud remdesivir tidak memberi manfaat langsung ke atas pesakit.

Bagaimanapun, berdasarkan angka terkini, kos dan kaedah penyampaian menyarankan agar tidak menggunakan remdesivir sebagai tambahan rawatan biasa untuk pesakit Covid-19 di hospital tanpa menghiraukan keadaan pesakit.

Pada bulan lalu, syarikat Gilead yang mengeluarkan remdesivir berkata, penjualan ubat itu meningkat hampir AS$900 juta (RM3.68 bilion) pada suku ketiga tahun ini.

Remdesivir pada mulanya dibangunkan sebagai ubat bagi merawat virus Ebola, namun satu kajian yang diterbitkan pada Mei mendapati ia boleh mengurangkan tempoh rawatan pesakit Covid-19 yang terlantar di hospital secara purata dari 15 ke 11 hari.

Bagaimanapun, WHO kini mendapati ubat itu sedikit atau tiada kesan terhadap kematian atau jangka masa rawatan di hospital dalam kalangan 11,000 pesakit di 30 negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:38 PM