Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.6 juta yang dirampas dalam tempoh dua tahun bermula 2018.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pelupusan barang kes itu daripada 3,602 kertas siasatan dengan dadah terbabit adalah 6,778 gram methamphetamine; syabu (4,239 gram); heroin (3,188 gram); ganja (5,459 gram); ubat batuk (2,117 liter); daun ketum (308 kilogram); cecair ketum (1,048 liter); Erimin 5 ( 347 gram) dan ecstacy (21 gram).

"Pelupusan yang dijalankan setiap tahun ini bertujuan memastikan pengurusan barang kes dijalankan secara teratur, selain tanggungjawab memastikan ia dilupuskan seperti mana perintah mahkamah.

"Ia juga membuktikan bahawa tiada barang kes dadah yang disalahgunakan selepas kes selesai, yang mana kita akan memastikan tiada juga yang kembali di pasaran," katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik untuk Program Pelupusan 2020 di pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung.

Pada majlis itu, polis menggunakan khidmat Syarikat Kualiti Alam Sekitar Sdn Bhd untuk melaksanakan pelupusan selaras piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu, Roslee berkata, pelupusan barang itu juga bagi mengelak tempat penyimpanan menjadi padat dan memberi ruang kepada barang kes baharu.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), katanya, sebanyak 100 kompaun dikeluarkan dalam tempoh 18 hari bermula 1 Oktober lalu.

ROSLEE Chik (tengah) memeriksa barang kes narkotik yang akan dilupuskan pada majlis Serahan Barang Kes Narkotik untuk program pelupusan tahun 2020 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
ROSLEE Chik (tengah) memeriksa barang kes narkotik yang akan dilupuskan pada majlis Serahan Barang Kes Narkotik untuk program pelupusan tahun 2020 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO GHAZALI KORI

"Kesalahan paling banyak menerima kompaun segera adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Bagi mengekang penularan Covid-19, sebanyak 92 pasukan pemantau membabitkan lebih 500 pegawai dan anggota ditugaskan di seluruh Terengganu dan 16 sekatan jalan raya diadakan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 6:10 PM