GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar
GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar
Raja Noraina Raja Rahim


Klang: Gangguan bekalan air bukan lagi perkara asing buat penduduk di Meru di sini, yang berdepan masalah itu saban tahun.

Namun, masalah bekalan air putus kali ini lebih sukar kerana hampir keseluruhan ahli keluarga berada di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan memerlukan penggunaan air yang banyak.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Meru mendapati bekalan air mineral di beberapa premis perniagaan kehabisan berikutan orang ramai mendapatkannya untuk keperluan masing-masing.

Salah seorang penduduk, Siti Aiesyah A. Kadir, 36, yang menetap di Jalan Jambu, Meru berkata, gangguan bekalan air kerap berlaku tetapi kebiasaannya dia dan suami keluar bekerja manakala empat anak dihantar ke sekolah serta pusat asuhan.

"Pada waktu siang hanya emak saya di rumah, jadi air tangki dapat bertahan lama kerana kami semua tiada di rumah.

"Tapi hari ini, kesemua tujuh ahli keluarga ada di rumah. Aktiviti harian kami terjejas dan hanya bergantung air tangki untuk mandi serta mencuci," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sudah tiba masanya isu bekalan air bersih di Selangor diatasi pihak berkaitan segera termasuk langkah jangka panjang bagi memastikan masalah sama tidak terus berulang.

Bagi Aireen Umi Maisarah Mohamad Anuar, 32, berkata enam ahli keluarganya terpaksa bergantung dengan air tangki di rumah kerana tidak sempat membeli air mineral.

Pekerja swasta itu berkata, dia keluar mencari air mineral di beberapa kedai runcit berhampiran rumahnya pagi tadi, namun sudah kehabisan stok.

"Saya dapat tahu berlaku gangguan bekalan air ini awal pagi. Kami memang tak sempat simpan air.

"Ketiadaan air memang menjadi bebanan kepada kami, tambah pula ada bayi dan perlukan air untuk bancuh susu dan sebagainya," katanya.

Katanya, masalah gangguan bekalan air bukan isu baru sebaliknya kerap berlaku sejak menetap di kawasan itu kira-kira 18 tahun lalu.

"Setiap kali berlaku pencemaran yang menyebabkan loji rawatan air di Selangor terpaksa ditutup, memang rumah kami antara yang terjejas. Kawasan perumahan saya juga tidak pernah menerima bantuan bekalan air daripada pihak berkuasa dan kebiasaannya kami cari air sendiri," katanya.

Loji rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 4:58 PM