Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Operasi loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sebanyak enam kali tahun ini angkara kes pencemaran sungai.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.

"Setakat tahun ini sahaja, Loji Rawatan Air Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sebanyak enam kali berikutan isu pencemaran sungai.

"Saya dan warga kerja Air Selangor amat memahami keperitan yang dihadapi semua pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air yang tidak berjadual ini kerana kami semua adalah pengguna seperti anda," katanya selepas Majlis Pemberian Air Minuman kepada Penduduk Pangsapuri Rimba Jaya di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Suhaimi berkata, setiap kali berlaku insiden terbabit, pihaknya sentiasa sedaya-upaya membantu pengguna secepat mungkin.

"Pemantauan kami adalah di muka sauk di mana kami mengambil (sampel) air mentah bagi mengenalpasti sekiranya terdapat pencemaran di muka sauk, (loji) terpaksa kami henti tugas.

"Kami cuba sedaya upaya memberi maklumat kepada pengguna secepat mungkin sekiranya loji terpaksa ditutup," katanya.

Mengulas berhubung insiden pencemaran sehingga menyebabkan pengguna terjejas tiga hari lalu, beliau berkata, usaha memulihkan bekalan masih berbaki 45 peratus sehingga jam 4.30 petang tadi.

"Air Selangor terus berusaha untuk memberi bantuan bekalan air menggunakan 129 lori tangki ke premis kritikal, pusat dialisis serta kawasan perumahan.

"Walau bagaimanapun aset kami terhad dan sukar untuk memenuhi keperluan semua membabitkan 1.2 juta akaun pengguna. Saya berharap pengguna dapat ambil air melalui pili awam yang kami sediakan.

"Air Selangor menyasarkan kesemua 1,292 kawasan dapat dipulihkan pada jam 8 pagi 22 Oktober ini ( esok )," katanya.

SUHAIMI Kamaralzaman (kanan) dan Rodziah Ismail (dua dari kanan) menyerahkan air minuman kepada penduduk di Rimba Jaya, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
SUHAIMI Kamaralzaman (kanan) dan Rodziah Ismail (dua dari kanan) menyerahkan air minuman kepada penduduk di Rimba Jaya, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Katanya, Air Selangor juga dibantu 13 lori tangki dari beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dalam usaha pengagihan bekalan air bersih.

Ketika ditanya sama ada Air Selangor berhasrat memberikan insentif kepada pengguna terjejas, beliau memaklumkan gangguan bekalan air ini disebabkan oleh tindakan penjenayah alam sekitar.

"Oleh itu kami tidak akan pertimbangkan pemberian buat masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 8:31 PM