Orang ramai mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan Air Selangor di hadapan Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Orang ramai mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan Air Selangor di hadapan Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Norzamira Che Noh


Klang: Masalah gangguan bekalan air yang kerap kali berlaku menimbulkan keresahan kepada orang ramai terutama yang memerlukan sumber air yang banyak dalam menjalankan kehidupan seharian.

Pengusaha kedai makan Rahmat Abib Aprizal, 25, berkata, masalah gangguan bekalan air yang dilihat seperti tidak berkesudahan mengganggu operasi kedainya yang bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

"Masalah air sudah beberapa kali berlaku pada bulan ini dan sumber air terdekat adalah kira-kira satu kilometer dari kedai saya iaitu paip awam yang terletak di hadapan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

"Berikutan kedai saya beroperasi dari sarapan pagi hingga makan malam, saya terpaksa memunggah air sekurang-kurangnya empat kali sehari yang mana saya menggunakan lapan tong air 10 liter.

"Pengalaman paling teruk yang saya hadapi ialah ketika empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup baru-baru ini, justeru saya berharap gangguan bekalan ini akan segera pulih kerana agak penat untuk berulang alik mengisi air," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan masalah air kerap berlaku, pihaknya menggunakan pelapik pada pinggan untuk mengurangkan kerja membasuh serta menggunakan cawan pakai buang.

Katanya, dia juga akan mengalami sedikit kerugian setiap kali berlaku masalah air kerana perlu membeli air mineral untuk kegunaan memasak serta minuman pelanggan ekoran tidak pasti dengan tahap kebersihan dan kualiti air daripada paip awam.

Penduduk sebuah pangsapuri di Seksyen 7 Shah Alam, Maria Zain, 35, berkata, rumahnya terkesan sejak semalam susulan kejadian paip bocor di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

"Saya tinggal di tingkat 7, justeru saya faham air akan sedikit lambat untuk sampai ke rumah.

"Bagaimanapun pagi ini saya dikejutkan dengan kejadian pencemaran yang menyebabkan empat LRA terpaksa dihenti tugas.

"Situasi ini amat menyukarkan rakyat negeri ini terutama kami yang tinggal di rumah bertingkat. Kalau mahu simpan air pun tidak boleh banyak kerana ruang rumah sempit," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menangani isu ini dengan segera kerana Selangor adalah negeri termaju dan masalah asas seperti sumber air tidak seharusnya timbul sekali gus menyusahkan rakyat.

Katanya, sudah tiba masanya kilang yang menyebabkan pencemaran disita serta diroboh dan kerajaan negeri juga diminta agar tidak memberi muka kepada pencemar sumber air.

Terdahulu, LRA SSP 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri berkata, henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:36 PM