Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Loji rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurutnya, gangguan itu membabitkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

"Bagi proses pencairan dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

"Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

"Sehingga 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan insiden itu, Elina berkata, pemulihan henti tugas separa LRA Sungai Selangor Fasa 1 berikutan paip air terawat pecah yang sudah mencapai 80 peratus, tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, pihaknya menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

"Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 9:11 AM