Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri memutuskan untuk menggunapakai keseluruhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan PKPB yang diadakan hari ini membabitkan semua Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pegawai daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan MKN Selangor.

"Selepas meneliti pandangan semua pihak, kerajaan negeri memutuskan untuk mengguna pakai keseluruhan SOP seperti yang digariskan oleh MKN di seluruh Selangor, termasuk di Mukim Klang bagi tujuan pelaksanaan PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

"Sehubungan itu, SOP khusus untuk PKPB di Mukim Klang yang sudah dimaklumkan terlebih dahulu secara automatik terbatal dan akan mengikut SOP MKN yang diwartakan secara rasmi pagi tadi," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, melalui perbincangan itu, kerajaan negeri turut bersetuju memperincikan beberapa perkara yang tidak disebutkan dalam SOP iaitu aktiviti pasar pagi dibenarkan tertakluk kepada SOP yang sama seperti pasar malam.

Katanya, penggunaan taman permainan dan peralatan senaman di taman awam tidak dibenarkan sama sekali serta upacara pendaftaran perkahwinan bukan Muslim dibenarkan tetapi tidak melebihi enam orang pada satu masa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 8:12 PM