Tangguh solat Jumaat di Selangor hingga 27 Oktober ini.
Tangguh solat Jumaat di Selangor hingga 27 Oktober ini.
Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor mulai hari ini hingga 27 Oktober ini.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS membuat keputusan dan menetapkan bagi semua pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor untuk menangguhkan semua aktiviti itu.

"Penangguhan ini akan membabitkan 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

"Keputusan ini selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbir masjid dan surau di Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan terhadap anak kariah masing-masing daripada Covid-19," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing.

"Solat fardu berjemaah hendaklah dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak lebih tiga orang sahaja, manakala azan hendaklah dikumandangkan pada setiap waktu.

"Aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha hendaklah ditangguhkan buat sementara, berkuatkuasa pada waktu Subuh hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 3:00 PM