FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Umat Islam di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor sudah boleh menunaikan solat Jumaat, solat lima waktu serta aktiviti di masjid dan surau bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS membuat ketetapan baru berhubung aktiviti masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau itu membabitkan tiga daerah berkenaan sahaja.

"Sehubungan itu, pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu adalah dibenarkan kepada semua masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau mengikut kapasiti sebenar ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter.

"Kebenaran ini membabitkan 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau.

"Bagi program pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha dan bacaan Yassin juga turut dibenarkan dengan syarat penceramah yang dijemput

adalah dari zon hijau sahaja.

"Kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan lima waktu adalah untuk jemaah warganegara sahaja," katanya pada kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ketetapan baru ini tidaklah termasuk Mukim Kuala Selangor yang membabitkan sebuah masjid, dua surau kebenaran Jumaat dan dua surau berikutan perkembangan terkini penularan di mukim berkenaan.

"Arahan khusus juga dikeluarkan oleh JAIS kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang terbabit untuk dikuatkuasakan serta merta.

"Besar harapan JAIS agar seluruh umat Islam di Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan Covid-19.

"Langkah penguatkuasaan SOP yang tegas oleh pentadbir masjid dan surau, langkah pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir dan munajat yang diamalkan pasti akan membantu mempercepat ketetapan yang sama dapat dikuatkuasakan di seluruh Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 3:59 PM