MOHD SHAHZIHAN AHMAD
MOHD SHAHZIHAN AHMAD
Yusmizal Dolah Aling

PELAKSANAAN program pengimarahan di semua masjid dan surau seluruh Selangor akan memberi ruang kepada umat Islam menyuburkan syiar berdasarkan normal baharu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, peluang yang ada harus digunakan sebaiknya oleh semua pihak untuk kembali menjadikan institusi masjid dan surau sebagai pusat perkembangan agama seperti sebelum ini.

Katanya, pengenalan prosedur operasi standard (SOP) tertentu akan mewarnai aktiviti masjid dan surau bersesuaian dengan saranan pihak berkuasa mengenai langkah yang perlu diambil bagi menangani wabak Covid-19.

"Ia juga memberikan ruang kepada 5,175 penceramah bertauliah untuk kembali mengajar di masjid dengan mematuhi SOP ditetapkan agar terus menjadikan masjid sebagai pusat ilmu dan penyatuan ummah.

"Pegawai masjid dan surau hendaklah menyediakan takwim yang seimbang berdasarkan tiga ilmu teras iaitu akidah, akhlak dan syariah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penceramah juga akan mengambil masa 10 minit untuk memberi penerangan mengenai SOP dalam usaha memerangi wabak pandemik berkenaan setiap kali sebelum memulakan kuliah.

Katanya, pengisian kuliah Maghrib, Subuh dan tazkirah Jumaat dibuat secara berkitab dan bukannya secara kuliah umum seperti sebelum ini.

"Kita tidak mahu masjid menjadi pencetus kembalinya wabak Covid-19 di negeri ini. Kita juga menasihatkan agar semua kuliah dibuat secara rakaman agar boleh dimuat naik untuk perkongsian ahli jemaah yang lain.

"Jais juga sedar ada yang menyelar kita kerana membuka masjid untuk aktiviti agama, tetapi saya ingin tegaskan kita tidak mahu melayan sebarang persepsi murahan, apatah lagi dalam konteks perkembangan agama selepas mengambil kira semua faktor," katanya.

Pada 1 Julai lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid, surau dan musolla di negeri itu dibuka semula untuk mengadakan solat Jumaat dan solat lima waktu mengikut ketetapan oleh Jais.

Justeru, Mohd Shahzihan mengajak umat Islam di Selangor supaya mengambil peluang berkenaan untuk beribadat dan membiasakan diri dengan normal baharu yang mempunyai hikmah tersendiri terutama dalam konteks seorang Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:42 PM