FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seorang individu yang juga bekas tahanan reman dipercayai menjadi punca penularan Covid-19 di sebuah kampung di Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, individu yang positif pandemik itu dikatakan pulang ke kampungnya selepas dibebaskan dari penjara.

"Apabila dia tamat tahanan reman, dia balik ke rumah dan bergaul bersama penduduk kampung.

"Setakat ini, jiran dan kontak rapat individu berkenaan membabitkan 24 rumah di kampung sudah disaring.

"Bagaimanapun, saringan ini tidak membabitkan semua penduduk kampung berkenaan

"Individu itu mungkin menjadi punca penularan yang berlaku hingga menyebabkan beberapa sekolah di Baling terpaksa ditutup, namun siasatan lanjut masih dijalankan petugas kesihatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya difahamkan kampung itu sudah dikawal pihak berkuasa, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar belum dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Semalam, dua sekolah di Baling iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan SMK Bongor diarahkan tutup sehingga 17 Oktober ini.

Dua lagi sekolah yang diarahkan tutup adalah SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati memaklumkan semua tahanan positif Covid-19 yang bergejala ringan membabitkan Kluster Tembok diasingkan di dalam penjara dan dirawat mengikut prosedur ditetapkan.

Menurutnya, setiap petugas kesihatan akan diiringi warden penjara yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk merawat pesakit, manakala tahanan yang serius dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 5:21 PM