PENJARA Alor Setar. FOTO ihsan FB Ketua Pengarah KKM
PENJARA Alor Setar. FOTO ihsan FB Ketua Pengarah KKM
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Satu pusat rawatan khas bagi merawat tahanan yang positif Covid-19 bagi Kluster Tembok sudah dibuka di Penjara Alor Setar di sini, bagi memastikan rawatan segera diberi kepada mereka.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, petugas kesihatan juga sudah ditempatkan di pusat berkenaan dan ia berfungsi sama seperti hospital yang melakukan rawatan terhadap individu yang positif Covid-19.

Menurut beliau, hanya tahanan yang didapati dalam keadaan serius akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan lanjut.

"Kita dimaklumkan, tahanan yang bakal menamatkan hukuman dan didapati negatif Covid-19 akan ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) ditetapkan bagi menjalani proses isolasi dan kuarantin.

"PLKN ini dibuat penjara sementara, tahanan yang boleh dihantar ke situ, contohnya kesalahan dadah, dia ada lagi tiga bulan hukuman, jadi mereka ini boleh dikuarantin dan dirawat di sana," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah katil dan peralatan di HSB masih cukup untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sehingga kini wad kelas pertama dan kedua banyak digunakan untuk merawat pesakit berkenaan.

"Setakat hari ini, kita masih mampu untuk merawat pesakit Covid-19 di HSB, tapi tak tahulah jika ke depan, perlukan tempat rawatan lain, maka Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan adakan perbincangan mengenainya," katanya.

Mengulas lanjut berkaitan tahanan di Penjara Alor Setar, Dr Mohd Hayati berkata, sehingga kini, belum ada tahanan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB memerlukan bantuan oksigen.

"Tahanan yang dijangkiti dan berada pada tahap satu, dua dan tiga dirawat di dalam penjara manakala tahap empat dan lima dibawa ke HSB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 5:51 PM